mutakhir

Teruskan perjuangan pembentukan Malaysia Baharu

Oleh Yusmizal Dolah Aling

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengajak semua pihak untuk menumpukan kepada usaha yang positif kepada rakyat dan berjanji meneruskan perjuangan ke arah pembentukan Malaysia Baharu yang diidamkan.

Dalam perutusan Tahun Baru 2020, beliau berkata, 2019 adalah tahun yang penuh cabaran bagi kerajaan Pakatan Harapan melalui fasa baru pentadbiran.

Katanya, antara langkah kerajaan yang dapat dinikmati rakyat Malaysia pada 2020 ialah pasangan yang tidak memiliki cahaya mata boleh mengeluarkan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk rawatan kesuburan in-vitro (IVF) sehingga RM10,000, caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun suami ke akaun isteri dan peruntukan RM10 juta untuk pembangunan atlet wanita pada 2020.

“Tahun 2020 kerajaan akan memperkenal strategi keselamatan siber kebangsaan untuk pengurusan keselamatan siber dan jenayah siber demi perlindungan rakyat.

“Wanita berusia di antara 30 hingga 50 tahun yang berhenti bekerja selama setahun atau lebih dan yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan dalam tempoh yang sama.

Kita juga berjanji untuk terus menentang rasuah pada tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 12:36pm
d