mutakhir

Sup jangek eratkan silatulrahim

Oleh Mohd Khidir Zakaria

SUP kaki lembu atau lebih dikenali dengan nama 'sup jangek' menjadi acara tetap setiap hujung tahun penduduk di Fasa 10, di Bandar Springhill, Port Dickson.

Penyelaras program, Rostam Nasir, 48, berkata, sup jangek akan menjadi hidangan istimewa bersama penduduk di Fasa 10, Bandar Springhill.

"Kaki lembu ini saya simpan selepas majlis korban tahun ini dan mencari satu hari yang sesuai di Disember untuk majlis. Bukan mudah nak dapatkan satu hari yang semua kawan-kawan setaman boleh hadir merasai keenakan sup jangek.

"Sup jangek memerlukan penyediaan yang rapi. Kaki lembu perlu dibakar dan dikikis sebelum dipotong-potong. Apa yang seronok, kami juga memasak secara gotong-royong dan secara tidak langsung merapatkan hubungan silatulrahim penduduk setempat," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al Hijrah, Bandar Springhill, Ramli Ismail berkata, inilah budaya di Fasa 10, Bandar Springhill.

"Majlis makan sup jangek ini adalah seperti budaya bagi kami setiap hujung tahun sejak tujuh tahun lalu. Bagi saya ia amat baik kerana kami dapat berkumpul, bergurau senda sambil menjamah sup jangek.

"Sup jangek adalah makanan yang diperkenalkan oleh rakan-rakan kejiranan dari Negeri Sembilan dan kami semua meraikannya bagi merapatkan ukhwah kejiranan dari pelbagai negeri," katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 12:50pm
d