mutakhir

Tidak mengaku curi beras

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, hari ini kerana mencuri sekampit beras seberat 10 kilogram (kg).

Tertuduh, Wan Zuhairee Wan Jusoh, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sekampit beras seberat 10 kg milik Ahmad Hafizudin Mohd di kedai runcit di Manir pada 7.33 petang, 23 Disember lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan itu berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 9 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 2:12pm
d