mutakhir

Tak sabar nak pergi sekolah lagi

Oleh Faliq Lajim

“MAHU belajar membaca dan menulis dengan kawan. Tak sabar nak pergi sekolah lagi,” kata Muhammad Rayyan Rizqi Norman, 7.

Dia adalah murid tahun satu yang bakal memulakan sesi persekolahannya di Sekolah Kebangsaan (SK) La Salle, Petaling Jaya, pada Khamis ini.

Bapanya, Norman Awirson, 38 berkata, dia bersama anaknya hadir ke sekolah berkenaan bagi sesi pendaftaran dan orientasi murid tahun satu.

“Memang sedikit gementar berikutan Rayyan adalah anak sulung daripada tiga beradik. Walaupun dia sudah pergi ke tadika selama dua tahun namun persekitaran sekolah agak sedikit berbeza.

“Namun, apabila melihat dia bersemangat bangun awal pagi dan tidak sabar nak ke sekolah jadi saya berasa sedikit lega.

“Hari ini (orientasi) lebih kepada suai kenal. Apabila melihat dia boleh bergaul dengan rakan-rakan sekolahnya membuatkan saya pula yang teruja,” katanya kepada Harian Metro.

Norman berkata, dia sudah mengambil cuti Khamis ini sebagai persediaan untuk menghantar anaknya ke sekolah tanpa ditemani olehnya dan juga isteri.

Sementara itu, Mazirah Borhan, 32 berkata, anaknya Nur Irdina Natasha Mohamad Suhainis begitu teruja ke sekolah apabila dapat memakai pakaian sekolah dan menggunakan kelengkapan yang baharu.

“Perasaan bimbang itu memang ada sebab dia adalah anak sulung. Namun, bagi saya ia bukan satu masalah memandangkan dia sendiri mahu ke sekolah.

“Cuma sekarang ini saya lebih menitik beratkan mengenai keselamatannya berikutan kawasan sekolah agak besar.

“Oleh itu, saya sudah bawa dia ‘round’ kawasan sekolah bagi membiasakan dengan persekitaran di situ. Ia termasuk mengajarnya tempat yang perlu dia tunggu sekiranya saya lambat mengambilnya di sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 2:22pm
d