mutakhir

Hilang 5 gigi kerana lembu

Oleh Hassan Omar

HASRAT seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahu bertemu rakan bagi berbincang cadangan mencari pekerjaan bertukar tragedi apabila dia cedera terlanggar lembu, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa, Yusof Abdul Malek, 17, kehilangan lima gigi, selain cedera pada bahu, tangan dan kaki selepas motosikal Yamaha LC135 ditungganginya merempuh lembu yang tiba-tiba melintas jalan.

Difahamkan kemalangan berlaku di hadapan deretan gerai kraftangan di Jalan Paya Datuk, Alor Gajah.

Bapa mangsa, Abdul Malek Mustafa, 55, berkata, kejadian berlaku ketika anaknya dalam perjalanan dari kediaman mereka di Taman Kelemak Perdana menuju ke kediaman rakannya di Taman Kebaya, untuk berbincang mengenai pekerjaan.

“Dia baru selesai menduduki SPM hujung November lalu dan mahu mencari pekerjaan di sekitar bandar Alor Gajah.

“Menurut beberapa rakannya yang menunggang motosikal, lembu itu secara tiba-tiba lari melintas jalan, menyebabkan anak saya tidak sempat mengelak lalu terlanggar haiwan itu sebelum tercampak ke tepi jalan.

“Seorang pemandu kereta membawa anak saya ke Hospital Alor Gajah terletak kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, selain kehilangan lima gigi, Yusof cedera di bahu, tangan dan kaki, tetapi bersyukur apabila ujian x-ray mendapati kepala anaknya tidak cedera.

Katanya, besi pernah dimasukkan ke dalam kaki kanan anaknya akibat terbabit kemalangan jalan raya tiga tahun lalu, tidak terjejas.

“Lembu itu turut patah kaki kanan belakang akibat dirempuh motosikal.

“Bagaimanapun, saya tidak bercadang membuat laporan polis kerana yakin tiada sesiapapun akan mengaku sebagai pemilik lembu itu bagi mengelak diambil tindakan undang-undang dan tuntutan ganti rugi,” katanya.

Abdul Malek berkata, kaki kanan anaknya itu pernah patah selepas motosikal ditungganginya melanggar van keluar simpang di hadapan Hospital Alor Gajah pada pertengahan 2016.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 2:23pm
d