mutakhir

Melaka gagal capai 20 juta pelancong

Oleh Fairuz Zaidan

MELAKA gagal mencapai sasaran untuk menarik kehadiran 20 juta pelancong pada tahun ini bersempena kempen Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.

Bagaimanapun, jumlah itu jauh melebihi statistik 17.02 juta pelancong direkodkan pada 2018.

EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata, kerajaan negeri percaya Melaka sudah mencapai kehadiran 18 juta pelancong bagi 2019.

Beliau berkata, daripada 18 juta pelancong, kira-kira 60 peratus daripadanya disumbang pelancong domestik terutama dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Terengganu.

“Pelbagai faktor dilihat menjejaskan sasaran kita sempena kempen TMM 2019 termasuk isu jerebu rentas sempadan, kemarau serta Pemilihan Umum Indonesia 2019 (PEMILU) apabila ia menyaksikan pelancong khususnya dari negara jiran berkurangan.

“Susulan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bermula 1 Januari ini (esok), saya akan berbincang dengan Ketua Menteri Adly Zahari, supaya kita kekalkan sasaran untuk menarik 20 juta pelancong ke Melaka sepanjang 2020.

“Ia secara tidak langsung menepati sasaran kerajaan Persekutuan untuk menarik 30 juta pelancong melawat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian ‘Cruise & Win Melaka River Cruise 2019’ dan Konsert Aspirasi Taming Sari Wings di Dataran Taming Sari, Melaka, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) Azlan Abidin.

Mengulas lanjut statistik pelancong ke Melaka, Muhamad Jailani berkata, butiran tepat statistik ketibaan pelancong pada tahun ini hanya akan diterima pada Februari atau Mac depan melalui laporan dan data terkumpul daripada hotel, terminal feri, plaza tol, lapangan terbang serta kutipan cukai pelancongan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk menambah produk pelancongan baharu di lokasi pelancongan seperti di Melaka River Cruise, sekali gus memberi nilai tambah kepada pengunjung.

“Memandangkan statistik menunjukkan 60 peratus daripada pelawat ke negeri ini terdiri daripada pelancong domestik, sudah tentu kita mahukan kepelbagaian produk dan tarikan baharu dibuat khususnya di lokasi tumpuan pelancongan.

“Ini penting bagi memastikan produk pelancongan negeri kekal relevan dan terus menarik lebih ramai pelancong baharu termasuk kelompok pelancong domestik,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 2:34pm
d