mutakhir

Rempuh penguat kuasa elak ditahan

Oleh Nor Farhani Che Ad

PENGANGGUR bertindak agresif dengan merempuh penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda ketika serbuan di rumahnya di Kampung Binjal, Pengkalan Bujang, Merbok, semalam.

Lelaki berusia 25 tahun itu dipercayai bertindak demikian bagi mengelak ditahan.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata, lelaki itu juga berada dalam di bawah pengaruh dadah.

“Dia bagaimanapun berjaya ditahan beberapa minit selepas pergelutan itu dan ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis morfin dan methamphetamine.

“Lelaki itu antara 10 lelaki yang ditahan dalam operasi di sekitar Sungai Petani semalam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Arnida berkata, semua mereka yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun.

“Mereka ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 pindaan 1998,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 4:53pm
d