mutakhir

'Kami tak aniaya peniaga'

Oleh Samadi Ahmad

MAJLIS Perbandaran Sepang (MPSepang) menafikan pihaknya bertindak zalim dan tidak berhati perut terhadap peniaga di kawasan itu.

Yang Dipertua MPSepang, Mohd Fauzi Mohd Yatim, berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dan menerima memorandum bantahan daripada beberapa wakil peniaga, hari ini.

Beliau berkata, pada pertemuan itu pihaknya memberi ruang kepada wakil peniaga menyampaikan bantahan terhadap dasar baharu penyewaan premis di bawah kelolaan MPSepang.

“Dasar baharu itu bagi mengehadkan tempoh penyewaan 10 tahun premis di bawah kelolaan MPSepang bertujuan memberi peluang kepada peniaga lain menjalankan perniagaan di situ.

“Dasar baharu itu akan bermula pada awal 2021 dan MPSepang memberi peluang selama setahun kepada peniaga untuk mencari premis baru sebelum ia dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata, peniaga yang menyewa melebihi lima tahun perlu membayar sewa dengan kenaikan 100 peratus.

“Sebagai contoh, sekiranya mereka membayar sewa RM150...selepas ini mereka akan membayar RM300.

“Mana-mana pihak yang menyewakan premis sememangnya ada menyediakan surat perjanjian dan boleh diubah (syarat) pada bila-bila masa sekiranya difikirkan perlu,” katanya.

Sebelum itu, kira-kira 100 peniaga berkumpul di pejabat MPSepang selain membawa sepanduk bagi meluahkan kekecewaan terhadap dasar baharu diperkenalkan MPSepang itu.

Sebanyak 24 premis perniagaan di bawah seliaan MPSepang membabitkan kawasan Dengkil, Salak Tinggi, Sepang, Sungai Pelak dan Bagan Lalang yang rata-ratanya disewakan kepada peniaga bagi mengusahakan perniagaan makanan, minuman dan kedai runcit.

Beliau berkata, pihaknya berharap peniaga faham terhadap hasrat dan dasar disampaikan MPSepang itu bagi memberi ruang kepada masyarakat di kawasan itu.

“Kami berpendapat peniaga yang sudah menyewa lebih 10 tahun di lokasi itu mempunyai keupayaan untuk mencari tapak baharu bagi menjalankan perniagaan.

Surat arahan mengosongkan premis perniagaan akan dikeluarkan dan MPSepang tidak akan menyediakan premis baharu kepada peniaga,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa kesalahan dilakukan peniaga yang mengubahsuai premis tanpa kebenaran dan menjadikan seolah-olah premis itu milik mereka sendiri.

Katanya, pihaknya akan meneliti dan bentangkan memorandum bantahan itu pada majlis mesyuarat akan datang untuk tindakan selanjutnya.

Berita berkaitan

'Peniaga bantah keputusan MPSepang'

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 5:28pm
d