mutakhir

Terima kasih Uncle Ong

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KEHILANGAN rumah pusaka akibat kebakaran 27 Disember lalu menyebabkan dua beradik dari Kampung Rambutan, Padang Terap, tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menumpang di rumah saudara mereka.

Mohd Sallehudin Md Sin, 30, dan Mohd Haffis, 28, tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada hasil getah manakala adiknya bekerja sebagai pembantu dewan makan asrama sekolah.

Mohd Sallehudin berkata, dia tidak menyangka kejadian itu akan menyebabkan mereka hilang tempat berteduh dalam sekelip mata.

“Jika ingin buat rumah baru, kami dua beradik memang tidak mampu kerana saya hanya berpendapatan kira-kira RM600 sebulan dan adik saya kira-kira RM900 sebulan.

“Sekarang kami menumpang di rumah kakak yang hanya suri rumah manakala suaminya pula bekerja sebagai pemandu lori dan menanggung lima anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rambutan di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, rumah pusaka lebih 40 tahun itu terbakar dipercayai akibat litar pintas.

Bagaimanapun, nasib yang menimpa dia beradik itu mendapat perhatian penduduk Kuala Nerang berketurunan Tiong Hwa yang mahu membina sebuah rumah baru bernilai RM48,000 untuk mereka.

Ong Keen Tong, 53, berkata dia terpanggil untuk membantu dua beradik itu berikutan arwah bapa mereka adalah kenalan rapat serta pelanggan tetap di kedainya.

“Ramai yang memperkatakan mengenai isu perkauman, tetapi saya mahu membuktikan kita adalah sebenarnya adalah satu bangsa.

“Bukan saja dapat memberikan kepuasan diri dalam membantu masyarakat, malah ia dapat mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat,” katanya

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Munir Zakaria yang turut meninjau rumah berkenaan berkata, sikap pemurah Keen Tong harus dicontohi oleh masyarakat setempat.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 5:51pm
d