mutakhir

TMM2020 misi nasional

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

TAHUN Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) perlu diterima sebagai misi nasional dan rakyat berperanan untuk menarik kedatangan pelancong antarabangsa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mensasarkan kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dengan meraih pendapatan RM100 bilion.

Menurutnya, inisiatif ini bertujuan memperkukuhkan industri pelancongan yang terbukti memberi sumbangan besar kepada negara.

“Ia (pelancongan) industri yang berupaya membabitkan setiap lapisan masyarakat dan ia tidak mempunyai had kepada sesiapa yang menceburinya.

“Sumbangan industri pelancongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 meningkat kepada 15.2 peratus dengan nilai RM220.6 bilion berbanding 14.6 peratus dengan nilai RM201.4 bilion pada 2017,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Ambang 2020 dan Pelancaran TMM2020 di Dataran Merdeka, malam ini.

Turut hadir memeriahkan acara, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad serta barisan menteri Kabinet.

Dalam acara sama, Dataran Merdeka dipenuhi 80,000 pengunjung yang ternyata teruja menyambut 2020 dengan pelbagai acara sejak petang tadi.

Dalam ucapannya juga, Dr Mahathir berharap 2020 dapat memberi nikmat dan kemakmuran yang lebih dari tahun sebelumnya.

“Walaupun ada debaran dan sedikit kerisauan jika berlaku sesuatu di luar jangkaan yang mungkin merugikan dan menyusahkan, kita perlu yakin bahawa usaha yang kita semai pada 2019 akan membuahkan hasil.

“Kerajaan sedar bahawa sepanjang 2019 terdapat beberapa isu yang menimbul rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat dan kita akur dengan suara berkenaan serta berusaha memajukan negara ini sebagai satu amanah tanggungan kerajaan hari ini,” katanya.

Perdana Menteri turut mengimbau kenangan Wawasan 2020 yang signifikan kepadanya tiga dekad lalu kerana mensasarkan Malaysia mencapai status negara maju tahun ini.

“Pendekatan beberapa tahun yang lalu yang diambil oleh pemimpin kerajaan kelima dan keenam maka wawasan itu tidak dapat dicapai dan pada tahun ini.

“Kita (kerajaan) sediakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan meletak sasaran 2030 kita akan mencapai apa yang patut kita capai pada 2020,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 1:00am
d