mutakhir

180,000 PATI balik kampung

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LEBIH 180,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal masing-masing menerusi program Back For Good (B4G).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya juga berjaya meningkatkan jumlah pendakwaan kes membabitkan majikan kepada PATI, Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Anti Penggubahan Wang Haram (AMLA).

“Antara pencapaian utama JIM pada tahun lalu adalah perlaksanaan program B4G yang menyaksikan lebih 180,000 PATI pulang ke negara asal mereka, kejayaan menumpaskan sindiket kegiatan atas talian oleh rakyat asing di seluruh negara dan membongkar sindiket pengeluaran kad pengenalan secara tidak sah.

“Selain itu, jumlah pendakwaan kes membabitkan majikan kepada PATI, ATIPSOM dan AMLA juga meningkat pada tahun lalu. Kejayaan lain adalah menerima pengiktirafan dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai satu daripada enam kementerian dan jabatan serta 222 agensi yang dinilai untuk menerima Anugerah Amalan Terbaik Pengurusan Nilai diadakan buat julung kalinya tahun lalu,” katanya dalam kenyataan perutusan sempena tahun baharu.

Khairul Dzaimee berkata, beliau menetapkan tiga fokus utama jabatan itu termasuk peningkatan kualiti perkhidmatan kaunter iaitu pegawai JIM di kaunter pintu masuk adalah duta kepada negara dan perlu konsisten dalam memberikan perkhidmatan profesional serta mesra.

“Selain itu, operasi membanteras PATI secara besar-besaran turut menjadi fokus utama dengan sasaran sekurang-kurangnya penahanan seramai 70,000 PATI pada tahun ini melalui perlaksanaan operasi secara bersasar dan berterusan.

“Pada masa sama, peningkatan kecekapan tadbir urus jabatan melalui perlaksanaan 100 peratus inisiatif ‘e-payment’ (e-pembayaran) mulai Jun 2020 dan pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NISe),” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua warga JIM atas komitmen, keazaman dan ‘esprit de corp’ yang ditunjukkan dalam menjalankan tanggungjawab diamanahkan sepanjang tahun lalu.

“Saya yakin dengan semangat kerja berpasukan dan iltizam tinggi, kita akan terus mencapai kejayaan lebih cemerlang pada tahun ini demi keselamatan dan kesejahteraan negara tercinta,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 9:43am
d