mutakhir

Ultraman ada, semuanya ok [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SESI persekolahan yang bermula hari ini menyaksikan pelbagai ragam murid terutama membabitkan murid pra sekolah dan tahun satu.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengambil pendekatan meraikan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Awana, Jalan Langgar di Alor Setar dengan membawa maskot adiwira, Ultraman.

Murid sangat teruja melihat maskot terbabit dan ada yang berhenti menangis sebaik melihat Ultraman menyambut kedatangan mereka.

Ada murid yang masih memegang botol susu serta bantal busuk terus mendekati maskot adiwira berkenaan.

Mahfuz berkata, pihaknya merancang untuk membawa maskot terbabit sejak minggu lalu bagi menceriakan hari pertama mereka di sekolah.

Menurutnya, sekolah itu dipilih pihak JPN berikutan turut mempunyai Kelas Pendidikan Khas.

“Hari ini, saya bersama Timbalan Pengarah JPN Kedah Ismail Othman meraikan murid sekolah ini dan nampaknya mereka begitu teruja melihat maskot yang kita bawa.

“Saya yakin cara kita meraikan murid ini akan memberi semangat kepada mereka selain dapat mengubah persepsi mereka terhadap sekolah, yang penting waris juga gembira melihat anak mereka ceria,” katanya ketika ditemui media selepas majlis meraikan murid tahun satu sekolah berkenaan hari ini.

Seramai 102 murid tahun satu mendaftar di SK Awana hari ini yang menjadikan jumlah keseluruhan murid sekolah itu seramai 522 orang.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 11:07am
d