mutakhir

EPY2020 buka tirai TMM2020

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PELANCARAN kempen Experience Penang 2020 (EPY2020) menjadi pembuka tirai menyambut kedatangan tahun baharu 2020 di Pulau Pinang.

Selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) pelbagai acara dan program sudah dirangka di negeri ini terutama bagi sektor pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH) Negeri, Yeoh Soon Hin berkata, Pulau Pinang bukan sahaja terkenal dengan keindahan pantainya tetapi menawarkan kepelbagaian kebudayaan tersendiri selain beraneka makanan.

Katanya, bagi memastikan negeri itu kekal berdaya saing dalam sektor pelancongan global, EPY2020 diwujudkan bagi memacu pelancong ke Pulau Pinang.

“Sektor pelancongan menjadi penyumbang utama negeri ini dan mencatatkan kemasukan 7.79 juta pelancong pada 2018 yang mana jumlah itu meningkat daripada 7.2 juta orang pada 2017.

“Kempen ini bagi menyerlahkan keunikan dan keindahan Pulau Pinang kepada pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya ketika berucap, di Georgetown, malam tadi.

Terdahulu, Yeoh ditemui di majlis Sambutan Perdana Tahun Baharu 2020 di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

Hadir sama ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OWG Group Holdings Berhad, Tan Sri Richard Koh serta Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Jonathan Freddy.

Pelbagai acara persembahan diadakan pada majlis itu dan paling dinantikan ialah tembakan bunga api di atas bangunan ikonik dan tertinggi terbabit.

Sementara itu, pengunjung, Liana Abdullah, 40, berkata, dia berharap kedatangan tahun baharu membuka pelbagai peluang pekerjaan kepada anak tempatan seiring dengan kebolehan negeri ini dalam memacu sektor pelancongan.

“Inilah masanya kita menyeru supaya anak jati Pulau Pinang yang bekerja di negeri lain, supaya pulang bagi berbakti kepada negeri kelahiran mereka,” katanya yang hadir bersama suami dan dua anak.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 11:21am
d