mutakhir

Premis makanan di kampung pun dipantau

Oleh Muhamaad Razis Ismail

JABATAN Kesihatan Kelantan memberi amaran premis makanan di kawasan pedalaman di negeri ini tidak terkecuali daripada penguatkuasaan larangan merokok bermula hari ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pemeriksaan mendapati terdapat 10,000 premis makanan yang beroperasi di negeri ini.

Katanya, seramai 200 pegawai penguatkuasa akan dikerahkan untuk menjalankan operasi secara berkala di semua premis makanan tanpa mengira waktu.

“Masyarakat digesa mematuhi peraturan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tempat makan bebas daripada asap rokok bagi melindungi orang ramai.

“Dengan bilangan 200 pegawai penguatkuasa, kita merasakan ia mencukupi untuk menjalankan operasi sama ada di kawasan bandar dan luar bandar.

“Kita juga mengharapkan masyarakat menyalurkan maklumat dan aduan supaya kita boleh terus bertindak,” katanya selepas melakukan tinjauan di beberapa premis makanan, di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan mendapati 10,000 premis makanan di negeri ini sudah melekatkan papan tanda larangan merokok di dalam premis masing-masing.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 9,958 premis makanan diperiksa dalam aktiviti penguatkuasaan pendidikan dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,392 notis amaran dikeluarkan kepada pemilik premis yang tidak menampal tanda larangan merokok,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 1:49pm
d