mutakhir

Nama jelik tapi harga mahal

Oleh Hassan Omar

IA dinamakan sebagai ikan hantu atau ikan bodoh, namun harganya tidak seteruk nama digambarkan.

Itulah panggilan popular bagi ikan ketutu yang mencecah harga antara RM80 hingga RM90 seekor bagi ikan melebihi berat satu kilogram (kg) seekor atau antara RM40 hingga RM50 sekilogram.

Ternyata kegembiraan tidak dapat disembunyikan bagi golongan nelayan apabila ikan ketutu tersangkut pada jaring atau pukat, terperangkap dalam bubu atau terkena mata kail.

Bagi nelayan sungai, Bahari Md Sap, 50, ikan ketutu yang tersangkut pada jaring bukan setakat menceriakan dia, malah turut dikongsi anaknya, Izwan Syafiq, 15, yang membantunya menarik jaring.

Menurutnya, rezeki memperolehi ikan ketutu mampu membawa hasil lumayan kepada keluarganya.

"Agak sukar untuk mendapat ikan ketutu sekarang berbanding 10 tahun lalu kerana ia semakin pupus akibat pencemaran sungai. Jika ia tersangkut pada jaring, kami sangat bersyukur dan tersenyum puas.

"Jaring memerangkap ikan ini hanya boleh dipasang ketika arus sungai menjadi perlahan berdasarkan perkiraan peredaran bulan dalam kalendar Islam. Jika arus kuat, jaring itu tidak boleh dipasang kerana ia akan bergulung akibat dibawa arus," katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina di Alor Gajah.

Bahari berkata, dia anaknya memasang jaring di beberapa lokasi yang disifatkan mereka sebagai lubuk ikan di Sungai Ramuan Cina dan Sungai Rembau serta Sungai Linggi.

Lazimnya mereka membiarkan jaring berkenaan semalaman sebelum menariknya keesokan hari.

“Selain ketutu, ikan yang lazim tersangkut pada jaring adalah ikan duri, gelama, selangat dan senangin bersaiz kecil,” katanya,

Ketutu atau nama saintifiknya 'Oxyeleotris marmorata' adalah antara ikan air tawar hidup di kawasan cetek berhampiran tebing sungai, tasik dan lombong yang semakin sukar diperoleh.

Bahari berkata, ikan berkenaan lebih lazat berbanding ikan lain dan digemari masyarakat Tioghua kerana dikatakan mampu menyembuhkan penyakit darah tinggi dan semput.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 2:27pm
d