mutakhir

Bazir kemudahan boling

Oleh Mohd Amin Jalil

APA sudah jadi apabila Bangunan Stadium Boling Negeri yang dibina dengan kos kira-kira RM14 juta kini menjadi `rumah hantu’ dan sarang penagih.

Susulan itu kerajaan negeri dibawah pentadbiran baru bercadang mengambil alih Bangunan Stadium Boling Negeri yang terbiar dan mencacatkan pemandangan sejak lebih 15 tahun lalu itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji keperluan mengambil alih bangunan berkenaan untuk dijadikan sebagai pusat sukan boling.

Katanya, beliau sudah melawat bangunan berkenaan yang terletak berhampiran Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, di sini.

"Bangunan itu ketika ini menjadi milik swasta dan memerlukan kos yang besar untuk membeli atau membaik pulih.

"Saya difahamkan ia didirikan menjelang Negeri Sembilan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2004. Bangunan itu didapati terbiar sekian lama dan ketika ini difahamkan sudah mencapai status untuk dilelong.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) mengenainya dan langkah yang sesuai supaya tapak itu dapat terus dimajukan sebagai Stadium Boling Negeri pada masa depan," katanya tadi.

Difahamkan Stadium Boling Negeri itu dibina dengan kos kira-kira RM14 juta dan hanya dapat digunakan dalam beberapa bulan selepas disiapkan sebelum bangunan itu terbiar hingga suatu ketika menjadi sarang penagihan dadah.

Tinjauan mendapati kawasan sekeliling bangunan berkenaan dipenuhi semak samun dan sebahagian besar strukturnya rosak.

Mohamad Taufek berkata, kemudahan seperti itu penting untuk kerajaan negeri memajukan bidang sukan dan melahirkan pemain boling yang berprestasi tinggi pada masa depan.

"Usaha membangun dan menambah kemudahan sukan sentiasa diberikan perhatian. Kita berharap matlamat mengambilalih bangunan berkenaan akan dapat dicapai untuk kepentingan pembangunan sukan negeri ini," katanya.

Keterangan gambar

Keadaan bangunan Stadium Boling Negeri yang terbiar.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 3:39pm
d