mutakhir

'Puak ni memang kaki auta'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 87 warga China termasuk lapan wanita dalam serbuan di bangunan komersial dan kediaman di Puchong, di Serdang, hari ini, kerana dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan atas talian.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi bermula jam 11.30 pagi itu disertai 160 pegawai dan anggota imigresen termasuk agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Pemeriksaan terhadap premis yang diserbu menemui beberapa komputer dan komputer riba yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan pelaburan atas talian.

“Ini berdasarkan pada paparan skrin komputer berkenaan yang memaparkan pelbagai skim pelaburan sama ada ‘forex’ dan ‘crypto currency’ selain perjudian atas talian,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di Serdang, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga mendapati semua yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Premis yang diserbu dipercayai turut dijadikan sebagai pusat latihan untuk melatih mereka mengenai cara mendekati pelanggan melalui aplikasi atas talian.

“Kita dapati, modus operandi dijalankan sindiket ini juga berubah daripada menyewa bangunan komersial besar kepada menyewa kediaman seperti kondominium,” katanya turut memberitahu, unit kediamanyang dijadikan pusat operasi itu dilengkapi kemudahan internet.

Katanya, berdasarkan maklumat sumber, sindiket itu dilaporkan membeli kira-kira 800 kad sim yang dianggarkan bernilai RM24,000 di premis sekitar bangunan berkenaan untuk kegiatan penipuan.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 Akta Imigresen 1959,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 3:40pm
d