mutakhir

'Makan modai...'

Oleh Zuhainy Zulkiffli

“ROKOK sebatang RM1, tapi denda (kompaun) kena RM250... makan modai (modal).” Itu rungutan perokok yang dikenakan kompaun ketika operasi penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan di Jelutong dekat Georgetown, dilaksanakan bermula hari ini.

Lelaki berusia 50-an itu dilihat dengan selamba menghisap rokok di premis makanan tanpa menyedari kehadiran anggota penguat kuasa yang melakukan operasi.

Dia yang dipercayai baru selesai menjamu selera itu kemudian dikenakan kompaun dan mula menyesal dengan perbuatannya kerana mengeluarkan wang untuk membayar denda melebihi harga rokok yang dihisap.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Asmayani Khalib berkata, sehingga jam 1 tengah hari sebanyak 11 notis kompaun dikeluarkan kepada pelanggan yang menghisap rokok di kedai makan.

“Mereka tidak membantah malah mengakui kesalahan kerana tidak sengaja menghisap rokok di dalam premis.

“Sebanyak 236 premis makanan dilawati di sekitar negeri ini dan operasi dijalankan serentak di lima daerah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam operasi yang bermula pada 10 pagi itu, pelanggan di premis makanan juga diberi amaran serta peringatan mengenai penguatkuasaan itu.

Bukan saja mengeluarkan notis kompaun, malah orang awam khususnya pelanggan turut diberi pendidikan mengenai kesihatan dan larangan merokok.

Pemilik premis juga diberi peringatan supaya memperbanyakkan papan tanda larangan merokok yang mana saiznya boleh dilihat dengan jelas dan tidak terlalu kecil.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok berkuat kuasa 1 Januari 2019 dengan penguatkuasaan pendidikan selama dua belas bulan diikuti dengan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020.

Perluasan pewartaan di tempat makan adalah di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 4:10pm
d