mutakhir

Gempur penyeludupan ketum

Oleh Aizat Sharif

PERMINTAAN daun ketum di negara ini dijangka meningkat susulan tindakan kerajaan Thailand menggugurkan tumbuhan itu dari senarai narkotik minggu lalu.

Timbalan Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Hulu Kinta, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata, apabila ketum sudah dibenarkan secara berleluasa di negara itu, permintaan bahan terlarang itu akan bertambah, sekali gus mengundang siri penyeludupan yang berpanjangan.

“Kita tahu sindiket penyeludupan ketum akan terus mencari peluang untuk menyeludup ketum ke negara jiran terutama menggunakan laluan ‘tikus’ di pintu sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan Op Wawasan Kedah/Perlis di Markas Taktikal PGA, di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya perlu melipat gandakan penugasan di setiap ceruk di sekitar pagar sempadan Malaysia-Thailand yang ada di Kedah dan Perlis.

“Penugasan adalah seperti biasa, namun kita akan menggandakan usaha kawalan untuk mengekang individu atau kumpulan sindiket penyeludupan ketum daripada terus mengambil kesempatan terhadap langkah yang dilaksanakan negara jiran.

“Bukan sahaja permintaan ketum yang dilihat meningkat, permintaan bagi haiwan eksotik seperti ular tedung selar juga sama bulan lalu yang kita percaya akan dijadikan sebagai hidangan di negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang penugasan anggota PGA dari Batalion 1 Hulu Kinta dari 23 November hingga hari ini, sebanyak 57 kes direkodkan berlaku membabitkan penyeludupan ketum, pendatang asing tanpa izin (PATI), rokok, dadah dan hidupan liar.

“Daripada jumlah itu, 47 adalah penyeludupan ketum, selebihnya membabitkan PATI, dadah, rokok tidak sah cukai dan ular tedung selar,” katanya.

“Sebanyak 12,560 kilogram bernilai RM1.88 juta ketum dirampas dan ini jelas membimbangkan kami,” katanya.

Mohamed Rafiq berkata, penugasan Op Wawasan Kedah/Perlis kali ini akan diambil alih pasukan dari Batalion 3 PGA Hulu Kinta diketuai Pegawai Pemerintah Superintendan Rosman Kasman sehingga 30 Januari.

Pada 24 Disember lalu, kerajaan Thailand meluluskan pindaan terhadap undang-undang narkotik negara itu yang mana penggunaan produk ganja dan ketum tidak lagi menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang.

Dengan pindaan berkenaan, jawatankuasa kawalan narkotik mempunyai kuasa untuk membenarkan pemilikan, pengeluaran, penggunaan, import dan eksport ganja dan ketum serta undang-undang yang berkaitannya.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 4:37pm
d