mutakhir

Mayat wanita reput ditemui

Oleh Erika George

MISTERI bau busuk dari sebuah rumah di Jalan Desa Sri Utama di sini terungkai apabila penghuninya, seorang wanita ditemui mati tertiarap di bahagian pintu dapur kediamannya pada malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Lim Meng Seah dalam kenyataannya semalam berkata, mangsa dikenali sebagai Angelina Ganiban Abaco, 57, warga Filipina ditemui dalam keadaan tertiarap dan sedang mereput berdekatan jeriji pintu dapur kediamannya itu sekitar jam 7.50 malam.

Terdahulu katanya, kawan si mati yang mengenali mangsa melawat ke rumahnya kerana sudah 10 hari tidak bertemu mangsa, malah tidak mengangkat panggilan apabila dihubungi.

“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, kawannya itu meninjau dari rumah jiran sebelah mangsa dan terhidu bau busuk dari arah rumah mangsa.

“Bagaimanapun kawan mangsa itu tidak dapat masuk ke dalam rumah kerana pintu pagar berkunci,” katanya.

Sejurus itu katanya, kawan mangsa menghubungi talian kecemasan sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri datang bagi membuka kunci pagar rumah dan pintu rumah mangsa bagi menjalankan pemeriksaan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tinggal sendirian di rumah sewanya itu sejak setahun lalu.

Lim berkata pemeriksaan yang dijalankan tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah dalam kes ini yang mana kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri bagi tujuan bedah siasat.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 5:42pm
d