mutakhir

Konsep Masjid Rahmah diperbanyakkan [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan memperbanyakkan program di bawah Konsep Masjid Rahmah untuk meninggikan syiar Islam selain memperkasakan peranan jabatan itu bagi menyantuni orang ramai.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, impak diterima sepanjang tahun lalu menunjukkan perlu ada penambahbaikan bersesuaian dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan kakitangan jabatan itu.

Katanya, semua program yang dirancang adalah dengan matlamat untuk memberikan sebanyak mungkin manfaat kepada masyarakat dengan visi sebagai peneraju kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam tahun ini.

“Seperti tahun sebelum ini, JAWI akan jadi pelaksana pada dasar kemajuan Islam di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai agensi pusat di mana kita sendiri sebagai agensi di negeri akan melaksanakan pengurusan Konsep Masjid Rahmah.

“Kita akan melahirkan masjid dengan ciri-ciri Rahmah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat (RAHMAH). Kita akan bawa contoh terbaik kerana mempunyai masjid yang diklasifikasikan sebagai Rahmah ini. Saya yakin, kita akan capai sasaran itu,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pembukaan Restoran Wadi Aldabab di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, sesi penerangan mengenai Islam dan pemantauan yang diadakan sebelum ini akan diteruskan “Untuk itu, pembabitan anggota masyarakat adalah perlu bagi mewujudkan keharmonian bukan saja umat Islam sebaliknya juga kepada kaum lain.

“Kita akan bincang dengan pengurusan masjid supaya adakan juga program bersama bukan Islam mengikut kesesuaian seperti yang pernah diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan iaitu hari terbuka masjid. Ia memberi manfaat kepada bukan Islam memahami apa itu masjid, peranannya dan Islam itu sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai aspek penguatkuasaan, Mohd Ajib berkata, JAWI akan memastikan perkara yang termaktub di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dipatuhi dengan sebaiknya.

Katanya, fokus bahagian penguatkuasaan kini tertumpu kepada pemantauan dan sesi penerangan.

“Saya sangat berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai isu yang berkait dengan bidang kuasa jabatan itu,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 5:49pm
d