mutakhir

'Projek tergendala di pagi tahun baru'

Oleh Hasbi Sidek

BERCENGKERAMA di bilik hotel bersama pasangan masing-masing pada malam ambang tahun baru.

Itu kegiatan maksiat dilakukan 15 pasangan ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) hasil operasi Ambang Tahun Baharu 2020 di hotel sekitar Seremban, Nilai dan Port Dickson, awal pagi hari ini.

Ketua operasi, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pemeriksaan bermula 1 pagi membabitkan penahanan majoriti golongan muda.

“Semua pasangan berusia antara 20-an hingga 30-an itu ditahan mengikut Seksyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah (NS) 1992.

“Seperti biasa anak muda paling ramai ditahan dan ia sangat menyedihkan kerana mereka memilih menyambut tahun baru dengan pasangan masing-masing di hotel," katanya.

Beliau yang juga Penolong Pengarah (Kanan) JHEAINS berkata, seorang lelaki berusia 20-an turut ditahan mengikut Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana disyaki minum minuman memabukkan.

Menurutnya, pemuda itu mengaku minum minuman keras sebelum bertemu dengan pasangannya di tepi pantai di Port Dickson.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS di Seremban untuk siasatan lanjut dan boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan itu, ibu bapa wajar memantau aktiviti anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan kegiatan maksiat yang akhirnya menjatuhkan maruah keluarga selain merosakkan akhlak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengadakan program ‘Street Dakwah’ bagi mengedarkan risalah kepada golongan remaja di sekitar pantai Port Dickson untuk menjelaskan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, malam tadi.

Menurutnya, platform itu digunakan untuk memberi penjelasan berhubung hukum syarak dan kesalahan syariah kepada orang Islam dengan konsep lebih dekat iaitu secara bersemuka .

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 6:14pm
d