mutakhir

Tak sempat ke hospital

Oleh Ramli Ibrahim

WANITA Orang Asli berdepan detik cemas apabila melahirkan bayi perempuan pramatang di rumahnya di Kampung Tandrik, Pos Bihai, Gua Musang ketika menunggu penerbangan ihsan untuk dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) hari ini.

Sima Pandak, 19, yang kandungannya baru enam bulan selamat melahirkan anak pertamanya itu 2 petang tadi sebelum helikopter tiba 4.12 petang.

Suaminya, Masnan Musa, 26, berkata, dia tidak sangka sakit perut isterinya sejak semalam petanda dia mahu bersalin berikutan kandungannya masih tidak cukup bulan.

“Tiba-tiba saja sakit perut isteri saya bertambah serius tengah hari tadi dan terus melahirkan anak perempuan tidak cukup bulan yang perlu menerima rawatan di HGM.

“Saya bersama ahli keluarga menyambut bayi baru dilahirkan itu dan isteri bersama bayi kami sihat tetapi bayi perlu oksigen kerana tidak cukup bulan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak pada 11 pagi sebelum penerbangan berlepas 2.51 petang.

Beliau berkata, krew yang membawa helikopter Agusta AW189 sepatutnya diarahkan ke lokasi namun dimaklumkan wanita berkenaan sudah melahirkan anak menyebabkan penerbangan terpaksa ke bandar Gua Musang untuk mengambil jururawat bersama alat bantuan pernafasan.

“Sebaik mengambil jururawat bersama alat pernafasan, helikopter itu terus berlepas ke Kampung Tandrik pada 3.53 petang untuk mengambil bayi bersama ibunya sebelum mendarat semula di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada 4.40 petang.

“Ibu bersama bayinya itu dikejar ke HGM dengan ambulans yang disediakan JBPM,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 6:30pm
d