mutakhir

'Tak gaduh pun'

Oleh Olivia Miwil

PEMIMPIN Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan khabar angin wujud konflik di antara parti itu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung soal calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang berkata, Bersatu sejak awal lagi bersetuju memberi peluang kepada parti yang baru berusia tiga tahun itu meletakkan calon di kerusi berkenaan.

“Tidak wujud perbalahan antara Warisan dan Bersatu kerana mereka bersetuju beri kami bertanding pada pilihan raya kecil ini.

“Mengenai pengumuman calon, ia akan dibuat Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada bila-bila masa,” katanya di sini.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua turut menegaskan khabar angin berhubung perbalahan di antara kedua-dua parti itu tidak benar.

Akhbar sebelum ini melaporkan sumber dalam Pakatan Harapan (PH) mendakwa wujud pergeseran antara kedua-dua parti kerana Bersatu Sabah enggan melepaskan kerusi berkenaan biarpun mengeluarkan kenyataan umum mengatakan semuanya baik di antara kedua-dua parti.

Sumber itu turut mendakwa Bersatu Sabah percaya mereka ada peluang lebih cerah berbanding Warisan yang menerajui kerajaan negeri.

Bulan lalu, Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew dan pemimpin daripada beberapa komponen parti menandatangani perjanjian membenarkan Warisan bertanding pada PRK Kimanis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika dihubungi mengekalkan pendirian parti memberi peluang kepada Warisan bertanding.

Beliau berkata, tidak timbul isu tidak berpuas hati terhadap calon yang diletakkan Warisan.

“Tiada (perbalahan) setahu saya (di antara Warisan dan Bersatu),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 6:02am
    d