mutakhir

40 kg akar kayu China dirampas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

CUBAAN lelaki membawa masuk 40 kilogram (kg) akar kayu secara haram melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) gagal apabila ditahan pihak berkuasa pada tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata, hasil pemeriksaan mesin imbasan kastam pada 12.30 tengah malam itu menemui akar kayu yang cuba dibawa masuk lelaki berkenaan dari China.

“Individu itu gagal mengemukakan dokumen sah seperti permit import (IP) yang dikeluarkan oleh MAQIS dan sijil fitosanitasi dari negara asal.

“Semua akar kayu yang dibawa masuk bagi tujuan perubatan tradisional itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Sepang ini.

Dr Tarmisal berkata, tindakan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah daripada MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

“Sabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Pihak MAQIS akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam negara ini adalah bebas daripada sebarang ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

“Ia bertujuan supaya ia tidak menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan makanan negara di samping mematuhi aspek kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, ikan serta kesihatan makanan,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 10:19am
d