mutakhir

Ada lagi yang tak tahu...

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SEGELINTIR pengusaha gerai makanan yang baharu menjalankan perniagaan antara yang dikesan gagal meletakkan papan tanda larangan merokok di premis masing-masing menerusi operasi khas yang dijalankan malam tadi.

Pegawai Pejabat Kesihatan Persekitaran Tawau Rahman Sampe berkata, tindakan kompaun dan notis hadir ke mahkamah dikeluarkan terhadap mereka yang didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan walaupun pelbagai alasan diberikan.

Menurutnya, ada antara pengusaha itu memberikan alasan baru membuka gerai makan, selain tidak mengetahui penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan yang bermula semalam.

“Apa pun alasan mereka, kita tidak boleh terima kerana penguatkuasaan pendidikan bagi pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok sudah dijalankan sejak 12 bulan lalu.

“Tempoh itu sudah memadai bagi mana-mana peniaga untuk mengambil maklum dan kita tidak akan berkompromi, malah operasi ini akan dijalankan secara berterusan setiap hari selama seminggu sebelum dibuat secara berkala selepas itu,” katanya kepada media.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang operasi itu lebih 70 premis termasuk medan selera dan gerai makan di sekitar pusat bandar diperiksa dengan 27 notis dikeluarkan terhadap individu dan pemilik restoran dan gerai makan membabitkan pelbagai kesalahan.

Menerusi operasi itu, tujuh individu didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 iaitu Peraturan 11(1)(d) iaitu merokok di kedai makan.

Menurutnya, 19 peniaga dikenakan tindakan kerana tidak memasang tanda larangan merokok mengikut Peraturan 12(1)(a), selain satu kesalahan mengikut Peraturan 12(1)(b) membabitkan pemilik premis yang gagal memastikan tiada orang merokok di premis jagaannya.

Rahman turut memberikan peringatan kepada pemilik restoran dan pengusaha gerai makan supaya memperbanyakkan papan tanda larangan merokok yang mana saiznya boleh dilihat dengan jelas dan tidak terlalu kecil.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 12:41pm
d