mutakhir

Dego Ride: 8,000 permohonan sejak dilancarkan

Oleh Suraya Roslan

BIARPUN baharu sehari dilancarkan perkhidmatan e-hailing motosikal, Dego Ride menerima kira-kira 8,000 permohonan daripada penunggang.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride Nabil Feisal Bamadhaj berkata, biarpun ramai yang mendaftar pihaknya hanya meluluskan 800 permohonan penunggang selepas beberapa tapisan dilakukan.

“Tidak sangka sehari dilancarkan sambutan sangat menggalakkan apabila 8,000 permohonan diterima setakat hari ini.

“Bagaimanapun kami hanya meluluskan 800 penunggang dan (kelulusan) ini akan dilakukan secara berperingkat. Kami dalam proses melebarkan sayap ke seluruh negara dan setakat ini Dego Ride hanya beroperasi di Lembah Klang, Shah Alam dan Putrajaya sahaja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, pihaknya sangat mengalu-alukan permohonan penunggang wanita terutama golongan bawah 40 (B40) untuk menambah pendapatan sampingan mereka.

“Setakat ini kami menerima permohonan 1,000 penunggang wanita dan baru meluluskan 200 daripadanya. Kita mahu mereka yang mahir menunggang motosikal.

“Bagi menjamin keselamatan penunggang wanita, hanya pelanggan wanita saja dibenarkan untuk dibonceng. Kami berharap penuntut universiti turut bekerja dengan kami,” katanya.

Nabil Feisal berkata, tambang terkini bagi perkhidmatan Dego Ride adalah pada kadar RM3 untuk perjalanan sejauh 3 kilometer (km) dan tambahan RM1 bagi 1 km seterusnya.

“Sebelum ini, perkhidmatan Dego Ride dikenalkan pada November 2017 dengan kadar tambang RM2.50 untuk perjalanan sejauh tiga km serta tambahan RM0.60 untuk 1 km berikutnya.

“Kita mengubah sedikit caj atas permintaan pelanggan yang sukar memberikan duit syiling berdasarkan maklum balas diterima, untuk permulaan jarak perjalanan dibenarkan bawah 10 km,” katanya.

Ditanya mengenai jaminan keselamatan untuk penumpang, Nabil Feisal menegaskan setiap pelanggan dan penunggang dilindungi dengan insurans.

“Disebabkan itu kita mahu penunggang yang mahir menunggang motosikal saja bagi mengelak sebarang isu keselamatan terutama terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Semalam, Dego Ride memulakan operasinya selepas dilarang beroperasi pada 2017 berikutan faktor keselamatan oleh pentadbiran terdahulu.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 1:55pm
d