mutakhir

Ramainya murid Tahun 1 di Selangor

Oleh Norzamira Che Noh

SERAMAI 94,244 murid mendaftar ke tahun satu di 633 sekolah rendah di Selangor pada sesi persekolahan 2020 bermula hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Muhamad Radzi Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan itu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 19,717 murid.

"PPD Hulu Langat pula mencatatkan pendaftaran seramai 17,937 murid diikuti Klang (15,993); Gombak (12,567); Petaling Utama (7,683) dan Sepang (5,060).

"Di PPD Kuala Selangor (4,857); Kuala Langat (4,825); Hulu Selangor (3,955); dan Sabak Bernam merekodkan 1,650 murid," katanya tadi.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Shah Alam di Seksyen 16 di sini, menjadi pilihan kebanyakan ibu bapa untuk pendaftaran tahun satu berikutan ia adalah satu-satunya sekolah yang menjalankan satu sesi persekolahan.

Guru Besarnya, Mohd Amin Bahari berkata, sekolah itu mendapat perhatian ibu bapa setiap tahun terutamanya untuk pendaftaran tahun satu.

“Bagaimanapun pengambilan murid sangat terhad.

"Ramai yang mahu mendaftarkan anak ke sekolah ini kerana ibu bapa lebih suka anak bersekolah satu sesi iaitu sebelah pagi tetapi kita hanya mempunyai tiga kelas untuk tahun satu.

"Untuk tahun ini, seramai 132 murid mendaftar di tahun satu dan jumlah itu meningkat sedikit berbanding sesi persekolahan 2019 membabitkan 112 murid.

"Daripada jumlah itu, seramai 57 adalah murid lelaki dan 75 perempuan. Pada tahun ini juga kami menerima empat murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menjadikan jumlah keseluruhannya 51 murid," katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 2:20pm
d