mutakhir

Menangis dituduh rogol gadis

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

DUA lelaki menangis teresak-esak di kandang Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini selepas dibacakan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap gadis berusia 14 tahun, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Irwan Shah Samsudin, 21, dan Muhammad Hafiz Abdullah, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua kertas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan terhadap Muhammad Irwan Shah, dia didakwa melakukan persetubuhan tanpa kerelaan mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun di dalam stor bersebelahan rumah di di Ayer Keroh pada antara 1 hingga 4 pagi, 16 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara 20 tahun serta sebatan jika disabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan terhadap Muhammad Hafiz, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal di depan rumah di Ayer Keroh antara 1 hingga 8 pagi, 16 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yee mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh.

Mereka yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tidak bekerja selain terpaksa menjaga ibu bapa yang sakit.

Norma pada penghakimannya kemudian membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak mengganggu atau mendekati mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 3 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 3:47pm
d