mutakhir

Masih berkeras isu Jawi

Oleh Samadi Ahmad

PERSEKUTUAN Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menyerahkan memorandum penolakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular kepada Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Memorandum diserahkan Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim bersama dua pertubuhan Tamil disertai Pengarah CHILD Information, Learning & Development Centre, K Arumugam dan Presiden Tamil Foundation,M Thiraviam.

Tai Kim berkata, pihaknya tidak membantah pembelajaran tulisan jawi tetapi biarlah dipersetujui secara sukarela oleh Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), serta murid berikutan perkara itu dilihat secara paksaan hingga menimbulkan kebimbangan masyarakat Cina dan India.

Menurut beliau, pada pertemuan itu pihaknya menyerahkan empat usul yang diluluskan dengan pendirian mempertahankan hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah supaya mempunyai kuasa penentuan terhadap segala dasar Kementerian Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Katanya, mereka juga mencadangkan supaya kerajaan prihatin terhadap pandangan masyarakat Cina dan India, supaya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran tulisan Jawi dibatalkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 di SJK.

Jelas beliau, pihaknya bersetuju sekolah dijadikan sebagai medium bagi memupuk semangat kepelbagaian budaya melalui kaedah interaksi budaya yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum, termasuk seni tulisan Jawi, Cina, Tamil dan suku kaum lain yang boleh dirujuk melalui buku teks Bahasa Melayu SJK Tahun 5 yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum.

"Kami juga mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan dialog bersama Pertubuhan-Pertubuhan Pendidikan Cina bagi membincangkan masalah ini sebelum ia dilaksanakan," katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum bantahan di sini hari ini.

Menerusi kempen dan kajian yang dijalankan Dong Zong terhadap SJKC di negara ini lebih 900 sekolah didakwa menolak pembelajaran tulisan jawi dan menyifatkannya bukan dalam konteks kepelbagaian.

Penolakan pembelajaran tulisan jawi itu turut menerima sokong dari 17 pertubuhan Cina termasuk Badan Bukan Kerajaan.

Tai Kim berkata, masalah itu menyebabkan pihaknya hilang keyakinan terhadap kredibiliti Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menangani isu tulisan Jawi ini secara profesional, malah ia turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

Menurut beliau, pihaknya berpendapat pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi itu perlu berdasarkan prinsip menghormati kepelbagaian bahasa dan budaya.

Katanya, demi keharmonian dan kestabilan rakyat pelbagai bangsa di negara ini kerajaan harus menunjukkan keikhlasan dan mengambil tindakan yang wajar untuk meminda dasar yang boleh menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 4:18pm
d