mutakhir

Muak dengar alasan basi [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

SEBUAH restoran makan segera di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor, antara tujuh premis makanan yang dikenakan kompaun kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis masing-masing walaupun penguatkuasaan sudah bermula semalam.

Akibatnya pemilik premis dikenakan denda sebanyak RM250 mengikut subperaturan12(1)(a) kerana kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis mereka.

Difahamkan pengurus restoran terbabit memberi alasan kononnya baru sebulan ditugaskan di premis itu.

Bagaimanapun wanita berusia 30-an itu memberitahu pegawai kesihatan bahawa pihaknya sudah menyediakan papan tanda larangan namun tidak memasangnya.

"Saya baru ambil alih sebulan lalu, ketika mengemas baru-baru ini, ada terjumpa papan tanda ini namun tidak sempat memasangnya.

"Kami akui kesilapan kami dan jadikan ini sebagai pengajaran," katanya.

Dalam operasi yang disertai pihak media itu, pasukan penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Klang turut mengenakan kompaun kepada pengusaha premis makanan yang mempamerkan tanda larangan merokok tidak mengikut spesifikasi dan saiz ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tinjauan mendapati ada dalam kalangan pengusaha restoran yang mempamerkan tanda larangan merokok terlampau kecil dan tidak dapat dilihat dengan jelas.

Ada juga pengusaha membuat tanda larangan merokok dengan hanya membuat cetakan pada kertas biasa, tidak lengkap dan ditampal menggunakan pita pelekat pada premis.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Sukhvinder Singh Sandhu yang mengetuai pemeriksaan premis itu berkata, sebanyak tujuh dikenakan kompaun semasa pemeriksaan di 25 premis sekitar Padang Jawa dan Bandar Baru Klang hari ini.

"Premis-premis ini dikompaun atas kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok serta papan tanda tidak mengikut saiz ditetapkan.

"Saiz papan tanda hendaklah daripada bahan keras, tegap dan tahan lama. Bagi bangunan atau premis, saiznya 50 sentimeter tinggi dan 40 sentimeter lebar," katanya.

Beliau juga menyifatkan kesedaran dalam kalangan pengunjung premis makanan berhubung isu larangan merokok bertambah baik berikutan tiada pengunjung atau pelanggan yang dikenakan kompaun kerana merokok di 25 premis yang diperiksa hari ini.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 6:05pm
d