mutakhir

Tidak tahu Maszlee mahu letak jawatan [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

TIADA sebarang perbincangan dibuat di peringkat Kabinet sebelum ini mengenai peletakan jawatan mana-mana menteri, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Malah katanya, beliau tidak tahu menahu mengenai hasrat Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk meletak jawatan.

“Memang saya ada baca tadi (laporan) yang menyatakan kemungkinan beliau akan letak jawatan.

“Cuma pagi ini saya bangun dan bersiap untuk terus ke Alor Setar dan dengar taklimat daripada MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan hanya fikir pasal NAFAS (Pertubuhan Peladang Kebangsaan), masalah padi dan petani.

“Jadi saya tak fikir langsung pasal perkara itu (peletakan jawatan Maszlee),” katanya pada sidang media dalam Lawatan Kerja Sehari Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Kedah dan Perlis di Kampung Sempering, Kangar, hari ini.

Sebentar tadi, Maszlee dalam sidang akhbarnya di lobi Kementerian Pendidikan mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa serta merta esok.

Ditanya mengenai rombakan kabinet, Salahuddin menyerahkan segala keputusan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenainya.

“Kalau nak diikutkan, ‘hint’ (ura-ura) mengenai saya tak ada dalam Kabinet pun ada. Macam-macam saya dengar.

“Keputusan untuk kekal (dalam kabinet) adalah hak mutlak Tun (Mahathir), jadi kita tunggu sahajalah kalau ada,” katanya.

Berita berkaitan

'Pengganti Maszlee ditentukan sedikit masa lagi' - PM

Dr Maszlee letak jawatan?

Maszlee Malik letak jawatan [METROTV]

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 6:06pm
d