mutakhir

Penstrukturan semula mantapkan JHS

Oleh Mohd Roji Kawi

PENSTRUKTURAN semula Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berkuat kuasa hari ini menyaksikan fungsi Sarawak Forestry Corporation (SFC) diambil alih semula oleh jabatan itu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, SFC pula akan mengambil alih sepenuhnya Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFCSB).

Beliau berkata, pemindahan peranan itu membabitkan penyerapan kakitangan SFCSB ke SFC serta cadangan padanan jawatan SFCSB sedia ada ke skim Sistem Saraan Malaysia (SSM).

JHS pula katanya, akan distruktur semula organisasinya bagi memantapkan fungsinya dalam pengurusan hutan yang lebih mampan dan cemerlang termasuk mencapai pengiktirafan antarabangsa.

“Pengambilalihan fungsi SFC oleh JHS mengikut Ordinan Hutan 2015, adalah meliputi pengurusan hutan, penyelidikan dan pembangunan hutan, kejuruteraan hutan, pematuhan hutan, pematuhan dan kutipan hasil serta ladang hutan.

“SFC pula akan mengambil alih semua fungsi mengikut Ordinan Taman Negara dan Rizab Semulajadi 1998 dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, iaitu berkaitan pengurusan dan pentadbiran Kawasan Terlindung Sepenuhnya seperti Taman Negara, Rizab Semulajadi dan Santuari Hidupan Liar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas sempena Penstrukturan Semula dan Transformasi JHS dan SFC di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Len Talif Salleh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Zaidi Mahdi; Pengarah JHS Hamden Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton.

JHS juga akan mengambil alih semua aset termasuk kenderaan digunakan SFCSB dalam menjalankan fungsi-fungsi berkenaan tidak terjejas serta berjalan lancar.

“Pengambilalihan fungsi SFCSB oleh JHS itu selaras dengan usaha kerajaan negeri memfokus kepada pembangunan industri hutan Sarawak kerana pengurusan, pemantauan dan penyeliaan hutan di negeri ini seharusnya dilakukan oleh JHS.

“Sebab itu, saya mengarahkan penstrukturan semula dan transformasi dilakukan secara menyeluruh dan memberi fokus kepada industri hutan dan kayu kita pada masa sama mengurus hutan kita secara mampan,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 6:47pm
d