mutakhir

36,341 murid tahun satu di Sarawak

Oleh Norsyazwani Nasri

SERAMAI 36,341 murid berdaftar untuk kemasukan ke Tahun Satu di seluruh Sarawak bagi sesi persekolahan tahun ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Azhar Ahmad berkata, keseluruhan enrolmen bagi 2020 adalah seramai 238,183 orang murid yang bersekolah di 1,265 sekolah rendah di seluruh negeri.

“Pada tahun ini sebanyak 1,458 sekolah beroperasi di seluruh Sarawak iaitu 193 sekolah menengah dan 1,265 sekolah rendah.

“Jumlah pelajar sekolah menengah adalah seramai 185,779 orang iaitu dari peringkat kelas peralihan hingga Tingkatan Lima,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, jumlah itu termasuk 39,993 murid Tahun Enam yang meneruskan persekolahan di peringkat menengah.

“Bagi Tingkatan Enam, Sarawak mempunyai 72 sekolah pusat di sekolah menengah harian (MOD 2 dan MOD 3), sebuah pusat tingkatan enam MOD 1 (Kolej Tingkatan Enam Saratok) yang menawarkan aliran Sains dan aliran Sains Sosial.

“Enam sekolah menengah agama menawarkan sebanyak 20 kelas aliran Agama (MOD 2 dan MOD 3). Selain itu, 127 kelas aliran Sains, 462 buah kelas aliran Sains Sosial di Sekolah Menengah Harian Biasa/ Bestari,” katanya.

Beliau berkata, bagi prasekolah terdapat pertambahan 16 kelas menjadikan keseluruhannya 1,521 kelas diwujudkan di 1,122 institusi pendidikan di Sarawak.

Sesi persekolahan 2020 bagi Sarawak bermula pada hari ini dengan jumlah hari persekolahan bagi Sarawak ialah sebanyak 198 hari bersamaan dengan 43 minggu.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 7:04pm
d