mutakhir

Rampas rokok seludup bernilai RM3.7 juta

Oleh Mohd Rojj Kawi

POLIS Sarawak menumpaskan sindiket penyeludupan rokok di tiga lokasi di negeri ini membabitkan rampasan pelbagai jenis rokok bernilai RM3.7 juta, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din berkata, kejayaan itu hasil intipan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam tempoh dua minggu hingga sebulan lalu.

Rampasan terbesar dilakukan dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Tabuan Jaya di sini, kira-kira jam 11 pagi apabila 9,800 karton rokok pelbagai jenis ditemui.

“Serbuan dilakukan 17 anggota Batalion 11 PGA yang disertai tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan dalam serbuan itu dan semua rampasan bernilai RM2.35 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak, di Kem Batu Kawa, di sini, hari ini.

Ramli berkata, lelaki terbabit kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Rampasan kedua pula dilakukan tujuh anggota Batalion 11 PGA di pekan Batu 10, semalam dan sebanyak 1,123 karton rokok pelbagai jenis ditemui disimpan di dalam sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan.

“Keseluruhan rampasan kedua itu dianggarkan bernilai RM303,000,” katanya sambil memaklumkan tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan itu.

Beliau berkata, rampasan ketiga dilakukan anggota Batalion 10 PGA di Sarikei pada jam 1.30 tengah hari, hari ini dan sebanyak 4,220 karton rokok pelbagai jenis ditemui.

“Serbuan ketiga di sebuah rumah di Sarikei itu juga tidak menemui suspek dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM1.9 juta,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya rokok berkenaan diseludup melalui dua laluan iaitu laut dan laluan darat di sempadan.

“Rokok putih dipercayai diseludup melalui laut manakala rokok kretek dari negara jiran melalui jalan darat, namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti sumber rokok seludup itu.

“Kejayaan dalam dua hari pertama tahun ini membuktikan polis serius menangani aktiviti penyeludupan rokok di negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 7:20pm
d