mutakhir

Zazali dilantik Datuk Bandar Seremban

Oleh Hasbi Sidek

BEKAS Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS) Datuk Zazali Salehudin, 59, dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) berkuat kuasa semalam.

Bekas Pegawai Daerah Jempol, Mas Midyawan Yahya pula dilantik sebagai Setiausaha MBS.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong berkata, pelantikan mereka diputuskan kerajaan negeri susulan penggabungan MPS dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) sebagai MBS.

"Majlis pengisytiharan MBS pula akan dibuat secara rasmi pada 20 Januari ini yang akan disempurnakan Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah seramai sembilan Ahli MBS di Bangunan MBS, hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan seramai 24 ahli MBS akan dilantik terdiri daripada individu yang berpengalaman sekurang-kurangnya setahun berkhidmat sebagai ahli majlis.

Beliau berkata, walaupun jumlah itu lebih rendah berbanding seramai 48 ahli MPS dan MPN yang dilantik sebelum ini, beliau yakin ahli majlis berkenaan akan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Mengikut Akta Kerajaan Tempatan, kita hanya dibenarkan melantik 24 orang. Pada fasa pertama ini seramai 10 orang dilantik dan selebihnya akan dibuat dalam tempoh terdekat.

"Kerajaan dan MBS juga sedang merangka sesuatu untuk membenarkan lebih ramai bekas ahli MPS dan MPN yang sudi berkhidmat untuk sama-sama menyumbang idea," katanya.

Sementara itu, beliau berharap dengan penggabungan itu, kakitangan MBS dan ahli majlis dapat meningkatkan perkhidmatan dengan berusaha memberi sistem penyampaian lebih baik kepada rakyat.

"Apabila menjadi status Majlis Bandaraya ini, tanggungjawab lebih berat tambahan pula harapan rakyat terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) amat tinggi.

"Kita bukan saja perlu sediakan perkhidmatan tetapi perlu ada pemikiran lebih kreatif untuk menjadikan kawasan di bawah MBS lebih menarik termasuk menawarkan dasar yang benar-benar memberi kesejahteraan pada rakyat," katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 7:33pm
d