mutakhir

76 dikompaun RM19,000

Oleh Mary Victoria Dass

SERAMAI 76 individu yang gagal mematuhi larangan merokok di tempat makan dikompaun RM19,000 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, tindakan itu menerusi Ops Penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 Larangan Merokok di Tempat Makan.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan penguatkuasaan larangan merokok mengikut Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 bermula 1 Januari 2020 iaitu larangan merokok di semua tempat makan termasuk tempat makan terbuka.

“Mereka yang menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun sejumlah RM 250.

“Bagi mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh mendapat pengurangan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan,” katanya.

Katanya, bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.

“Kompaun lebih tinggi iaitu sejumlah RM 350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

“Mengikut Peraturan 12 (1) (a) dan 12 (1) (b) ,Tuan Punya Premis yang menerima notis kesalahan dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sejumlah RM350.

“Penguatkuasaan serentak yang berjalan di seluruh Johor membabitkan seramai 245 pegawai penguatkuasa daripada KKM dan enam pengawai penguatkuasa daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebanyak sembilan notis kesalahan dikeluarkan kepada pemilik premis iaitu enam notis kesalahan mengikut Peraturan 12 (1) (a) iaitu gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan tiga notis kesalahan mengikut Peraturan 12 (1) (b) iaitu menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok,” katanya.

Beliau berkata, pihak KKM memohon kerjasama semua pihak mematuhi larangan merokok inibagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

Menurutnya, bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok yang disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang diberikan akreditasi.

“Mereka jugaboleh mendapatkan maklumat serta berdaftar menerusi laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 8:35pm
d