mutakhir

Kantoi seludup lembu

Oleh Siti Rohana Idris

Dua lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Tumpat membawa kepada rampasan 40 lembu seludup yang dalam perjalanan untuk disembelih.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Azhari Nusi, berkata, lori itu ditahan di Kampung Jubakar, 4.20 petang semalam.

Beliau berkata, ketika penugasan Op Wawasan, anggotanya terserempak dengan dua kenderaan berkenaan yang dinaiki tiga lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik memperkenalkan diri, pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan terbabit dan menemui 40 lembu jantan dalam dua lori terbabit yang dianggarkan bernilai RM240,000.

“Hasil penelitian terhadap dokumen yang dikemukakan juga diragui menyebabkan semua haiwan itu termasuk kenderaan dirampas dan dibawa ke markas taktikal Kuala Jambu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhari berkata, semua lembu jantan yang dibawa masuk dari Thailand itu diambil dari kandang sementara di Kampung Bendang Pak Yong.

Menurutnya lagi, binatang ternakan itu adalah untuk pasaran luar Kelantan dan akan dihantar ke Johor serta Selangor untuk disembelih.

“Tiga lelaki yang berusia antara 23 hingga 35 tahun diserahkan ke Balai Polis Simpangan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Binatang 1953,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 8:48am
d