mutakhir

Setia jaga kakak lumpuh 12 tahun

Oleh Noorazura Abdul Rahman

WANITA sanggup berhenti kerja dan melupakan hasratnya untuk berkahwin demi menjaga kakak sulungnya yang lumpuh sejak 12 tahun lalu.

Lily Suriani Omar, 53, berkata dia mula menjaga Ruslily, 54, pada Julai 2008 selepas pembedahan untuk memasukkan bateri pada bahagian jantung kakaknya itu gagal akibat diserang sawan.

“Kakak saya ada penyakit lemah jantung dan pada Mei 2008, doktor lakukan pembedahan untuk masukkan bateri. Tetapi ketika itulah dia diserang sawan menyebabkan lumpuh seluruh badan serta tidak mampu bercakap.

“Sebelum ini, saya bertugas sebagai pembantu klinik dengan gaji lebih RM1,000 sebulan, namun disebabkan keadaan kakak saya begitu, saya pilih untuk berhenti kerja dan menjaganya sepenuh masa,” katanya yang tinggal di Kampung Kebun Pinang, Alor Setar.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia dan kakaknya kini bergantung sepenuhnya pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) RM200 sebulan untuk kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, katanya, wang bantuan itu tidak mencukupi apabila sebanyak RM533 digunakan untuk membeli enam tin susu khas untuk kakaknya untuk keperluan sebulan.

“Selain itu, saya perlu membelanjakan RM200 sebulan untuk membeli lampin pakai buang serta RM150 untuk membeli tiub susu silikon.

“Kakak minum susu melalui tiub yang dibeli di farmasi, itu belum termasuk perbelanjaan dapur dan bil elektrik serta air.

“Saya mengharapkan bantuan adik beradik saya yang bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu, mereka juga sudah mempunyai keluarga sendiri.

“Sebelum ini, kenalan arwah bapa saya selalu datang memberi sedekah, tetapi sekarang selepas dia meninggal dunia dua tahun lalu, saya terpaksa lalui hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang kerana perlu mengutamakan keperluan kakak saya terlebih dahulu,” katanya.

Kesusahan Lily Suriani sedikit terubat apabila mendapat perhatian Pengerusi Sahabat Charity Balqish (SCB), Rukiza Abu Bakar yang tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan kakaknya serta wang tunai, hari ini.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 11:26am
d