mutakhir

Tabah tanpa dua kaki

Oleh Nazri Abu Bakar

KEHILANGAN dua kaki dari paras lutut ke bawah tidak melemahkan semangat orang kurang upaya (OKU) Shahrin Baharin, untuk meneruskan kehidupan dengan tabah.

Baginya dia reda dengan ketentuan Ilahi atas apa yang dilalui terutama kehilangan kaki kanan tiga bulan lalu akibat komplikasi diabetes yang teruk sejak tiga bulan lalu.

Shahrin, 47, berkata kemalangan jalan raya lebih 20 tahun lalu di Tangga Batu menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong akibat kecederaan teruk.

Sejak itu, katanya, kehidupannya berubah 180 darjah selepas koma lebih seminggu dan separuh sedar lebih empat bulan di hospital sehingga berstatus OKU.

“Antara impak kemalangan termasuk lumpuh sebelah kiri badan yang masih terkesan sehingga kini.

“Lebih malang penyakit diabetes dialami menyebabkan kaki kanan dipotong Oktober lalu, sekali gus menambahkan kesulitan untuk berjalan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Udang, Melaka.

Dia yang memiliki kaki palsu sebelah kiri kini menunggu keputusan untuk memperoleh kaki palsu kanan yang diusahakan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurutnya, dia tinggal sendirian di rumah pusaka peninggalan arwah ibunya dan kehidupan memang mencabar berikutan terpaksa bergerak sendiri untuk urusan seharian di rumah.

“Apapun, saya bersyukur berikutan kakak, anak saudara dan jiran yang tinggal berhampiran membantu banyak perkara termasuk menyediakan keperluan harian.

“Malah mereka menguruskan sarapan dan makan minum berikutan kesukaran untuk bergerak,” katanya.

Shahrin yang masih bujang berkata, jasa mereka amat dihargai dan tidak terbalas dengan kata-kata serta amat amat bermakna sepanjang hayatnya.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 11:39am
d