mutakhir

Lima beradik teruskan legasi bapa

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

KESANGGUPAN lima beradik menternak pelbagai ternakan selepas kematian bapa mereka akibat penyakit jantung empat tahun lalu, harus dipuji dan dicontohi.

Biarpun bergelumang dengan najis haiwan ternakan selain menjalani rutin menguruskan ternakan seperti kerbau, lembu, kambing dan ayam seawal jam 7 pagi, ia tidak membuatkan lima beradik berusia antara tujuh hingga 27 tahun dari Kampung Pak Pa, Bukit Besar, Kuala Terengganu itu berasa kekok dan terbeban.

Siti Farah Nabihah Mohd Ashini, 27, Siti Fatin Nabilah, 24, Mohd Farhan Irfan, 17, Fikri Adam, 14 dan Mohd Farish Anaqi, 7, menternak pelbagai ternakan untuk memastikan legasi dijalankan bapa mereka sejak lebih 30 tahun lalu diteruskan.

Siti Farah Nabihah berkata, dia bersama empat adiknya didedahkan dengan aktiviti dan kegiatan penternakan lembu, kerbau, kambing dan ayam itu sejak kecil oleh arwah bapanya, Mohd Ashini Abdul Rahman, 54.

“Kami diberi pendedahan dengan kegiatan penternakan itu sejak kecil menyebabkan ia sebati dengan kehidupan kami sekeluarga.

“Kami sentiasa dikerah bapa untuk ke kandang bagi menguruskan semua ternakan dan ketika itu sering tertanya-tanya tujuan bapa berbuat demikian.

“Sekarang, kami faham kenapa bapa memaksa kami menguruskan ternakan, rupanya bapa ingin melatih kemahiran penternakan untuk dimanfaatkan apabila dia sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, dia dan keluarganya sudah berjanji untuk meneruskan legasi penternakan itu dan bercita-cita mengembangkan penternakan itu pada masa akan datang.

Katanya, berbekalkan pengalaman dan ilmu dicurahkan arwah bapa, mereka bersyukur kerana mampu menguruskan semua ternakan sendiri seterusnya menampung keperluan keluarga sehingga sekarang.

“Kami menjaga semua ternakan iaitu lembu 15 ekor, kambing (16 ekor), biri-biri (5 ekor) dan kerbau (2 ekor) dengan baik selain tidak melepaskan ternakan berkeliaran supaya tidak mendatangkan masalah kepada penduduk setempat.

“Kami memperoleh kepuasan apabila ternakan sihat dan gemuk selain mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Ternakan di kandang sentiasa bersilih ganti kerana dijual dan keuntungan diperoleh akan digunakan semula untuk membeli ternakan lain,” katanya.

Menurutnya, aktiviti menguruskan kerbau, lembu dan kambing itu bukan sekadar meneruskan legasi penternakan dijalankan bapa mereka, malah menjadi kegembiraan dan terapi kepada dia dan adiknya.

Katanya, menjadi rutin mereka pada setiap petang bermain dengan semua ternakan itu.

“Menunggang kerbau dan lembu sudah menjadi keseronokan dan memberi ketenangan kepada kami.

“Kami mempunyai seekor kerbau albino dipanggil Mikey, biasanya kerbau jinak itu akan ditunggang ke kawasan berpaya berdekatan rumah dan ia menjadi tarikan orang ramai,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 12:42pm
d