mutakhir

Lima pemburu haram dicekup

Oleh Abdul Rahemang Taiming

LIMA lelaki ditahan Pasukan Khas Jabatan Perhutanan Sabah (Protect) kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pemburuan haram di kawasan Hutan Simpan Tabin, dekat sini, kelmarin.

Semua suspek empat warga asing dan seorang rakyat tempatan itu ditahan ketika memproses hasil buruan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran hutan simpan terbabit kira-kira 12.30 tengah malam.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Jaini berkata, siasatan awal mendapati semua suspek yang berumur antara 20 hingga 50 tahun adalah pekerja ladang di situ dan dipercayai menjadi dalang utama dalam kegiatan pemburuan haram.

Katanya, pihaknya turut menahan lelaki tempatan, 27 tahun yang dipercayai membayar sejumlah wang kepada dalang terbabit yang mahir dalam selok belok berburu di kawasan hutan simpan berkenaan selain dibayar untuk hasil buruan.

“Kita turut merampas tiga bangkai binatang liar selain beberapa bahagian binatang yang sudah siap dipotong untuk dibawa keluar.

“Kesemua suspek diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk siasatan mengikut Enakmen Pemuliharaan hidupan Liar 1997 sebelum dibawa ke balai Polis Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang kesal dengan kejadian itu memberi peringatan kepada pemilik ladang terutamanya yang bersempadan dengan hutan simpan agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan pekerja mereka tidak terbabit dengan aktiviti pemburuan haram.

“Pemilik ladang juga perlu mengetatkan kawalan di pintu masuk atau pos kawalan ladang masing-masing supaya pemburu haram dari luar tidak dapat menggunakan laluan dalam ladang mereka untuk berburu dalam kawasan hutan simpan,” tegasnya.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 12:45pm
d