mutakhir

Vaksin pneumokokal percuma bermula Jun ini

Oleh Balqis Jazimah Zahari

KEMENTERIAN Kesihatan akan melaksanakan program suntikan vaksin pneumokokal secara percuma khusus kepada bayi baru lahir bermula Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, setakat ini mereka yang layak diberikan suntikan percuma adalah bayi yang baru lahir bermula 1 Januari 2020.

“Kita masih dalam proses perolehan ubat (vaksin) berkenaan agar selepas itu ia boleh diedarkan kepada semua klinik dan hospital.

“Jadi, kita menjangkakan pelaksanaan program suntikan itu akan bermula sekurang-kurang pada Jun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penyerahan Alat Perubatan LEGA kepada Klinik Kesihatan Gunung Rapat di Jalan Gopeng, Gunung Rapat di Ipoh, hari ini.

Dr Lee bagaimanapun berkata, suntikan percuma itu bagaimanapun tidak dapat diberikan kepada bayi yang lahir sebelum 1 Januari tahun ini kerana peruntukkan tidak termasuk dalam Belanjawan 2020.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan akan merangka strategi pelaksanaan bagi memastikan peruntukan RM60 juta untuk vaksin pneumokokal yang diumumkan pada Belanjawan 2020, baru-baru ini, dapat digunakan secara baik.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata, pihaknya komited untuk melaksanakan program terbabit seawal yang mungkin pada tahun ini kerana ia sudah lama tertangguh kerana ketiadaan dana.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly menegaskan kementerian perlu melihat jumlah yang diberi sebelum menilai keupayaan apa yang boleh diperoleh dari sumber kewangan terbabit.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 1:27pm
d