mutakhir

'Kehilangan Maszlee satu kerugian' - iGuru

Oleh Mohd Amin Jalil

IKATAN Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) tidak bersetuju Dr Maszlee Malik meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan berikutan usahanya melakukan reformasi pendidikan yang membawa naratif baharu dalam pendidikan negara.

Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berkata, sepatutnya Maszlee diberi peluang sehingga berakhir tempoh perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen bagi membuktikan komitmen beliau memajukan pendidikan negara.

“Usaha beliau untuk melakukan reformasi pendidikan ke arah naratif baharu sudah menampakkan kesan yang positif, walaupun dalam tempoh yang singkat memegang jawatan itu.

“Kami merasakan satu kerugian kerana beliau seorang yang berwibawa dan berupaya membawa bidang pendidikan negara ke tahap lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatan petang semalam dan berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Rengam dikatakan berbuat demikian selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Mohd Azizee berkata, iGuru merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada Maszlee atas sumbangannya ketika menerajui Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, pihaknya berharap perubahan menteri tidak akan menjejaskan dasar pendidikan sedia ada, sebaliknya ke arah mengukuhkan sistem pendidikan supaya mampu berdepan dengan cabaran semasa.

Katanya, iGuru turut berharap pengganti beliau dapat memastikan usaha mengekalkan dasar dan polisi KPM terus kukuh dan tidak tergugat.

“IGuru mahu semua warga guru terus komited dan bersungguh-sungguh menjayakan aspirasi pendidikan negara tanpa mengira latar belakang kaum.

“Nasib rakyat berubah melalui pendidikan yang terbaik dan berkualiti,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 3:25pm
d