mutakhir

Terima kasih atas jasa kalian

Oleh Mohd Amin Jalil

“SAYA bersyukur dengan bantuan disalurkan orang ramai yang simpati dengan anak saya, meskipun ada penambahan kos (rawatan) pada saat akhir,” kata Mohd Nor Hafiz Md Shari, 35.

Mohd Nor Hafiz memberi reaksi itu selepas berjaya mendapatkan dana RM33,000 bagi membolehkan anaknya, Noah Ulhaq, 2, atau mesra dipanggil Adam, menjalani pembedahan penyakit tulang kaki bengkok.

Penyakit itu dihidapi Adam sejak lahir menyebabkan dia kerap dimasukkan ke hospital, selain tidak boleh makan dan hanya bergantung kepada susu khas.

Adam juga turut menghidap lima komplikasi kesihatan lain, iaitu sindrom noonan (kelainan genetik), jantung berlubang, angin pasang, jangkitan kuman dalam paru-paru dan talasemia.

Mohd Nor Hafiz dari Taman Nusa Intan Senawang, Seremban berkata, Adam bakal menjalani pembedahan dan rawatan lanjut di Hospital Antarabangsa Bumrungrad Bangkok, Selasa ini.

Menurutnya, dia bersama beberapa ahli keluarga, termasuk isteri akan bertolak ke Bangkok Ahad ini dan segala persiapan sudah dibuat.

“Saya dan keluarga tidak dapat menjangkakan berapa lama kami perlu berada di Bangkok dan berapa lama Adam perlu berada dalam perhatian pihak hospital berkenaan.

“Namun, saya dan keluarga sudah membuat persiapan rapi seperti yang diperlukan untuk memastikan proses rawatan Adam sepanjang berada di sana berjalan lancar,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Nor Hafiz berkata, pihaknya menarik nafas lega kerana impiannya membawa Adam mendapatkan rawatan tercapai bagi membolehkan anaknya itu berdiri dan berjalan seperti kanak-kanak lain.

Peniaga air di Senawang itu berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu menghulurkan sumbangan dana bagi tujuan rawatan anaknya itu.

“Kami sekeluarga mengharapkan proses rawatan dan pembedahan itu nanti berjalan lancar dan saya minta orang ramai dapat mendoakan urusan mengenainya dalam keadaan baik,” katanya.

Oktober lalu, Harian Metro melaporkan kesukaran Mohd Nor Hafiz dan keluarga mendapatkan dana bagi rawatan anaknya itu dan menerusi penyiaran kisahnya, orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 4:03pm
d