mutakhir

Tabah menanggung derita kesakitan

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

“AYAH tidak mahu menagih simpati walaupun kami sangat memerlukan bantuan,” kata Mohd Redzuan Norhezan, 37, yang terlantar akibat ketumbuhan bisul pada beberapa bahagian badan selain turut mengidap penyakit buah pinggang dan kencing manis.

Kaki kanan Mohd Redzuan kudung selepas dipotong hingga paras paha pada 2014 dan bisul sebesar bola tenis tumbuh di belakang lehernya sejak hujung 2018 lalu sebelum merebak ke kepala, lutut kiri, bawah perut, dada kanan serta punggung.

Mohd Redzuan berkata, dia juga sudah menjalani pembedahan buat kali ketiga pada November tahun lalu menyebabkan pergerakannya terbatas selain terpaksa menerima hakikat bahawa rawatan dialisis perlu dilakukan segera.

Menurutnya, bapanya berusia 70 tahun enggan menagih simpati ramai, sebaliknya berusaha menyara keluarga sebagai pengutip barangan kitar semula dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM300 sebulan.

Katanya, hanya bapanya tempat bergantung selepas ibunya, Hasnah Othman meninggal dunia pada 2014.

“Ayah yakin rezeki akan datang dalam pelbagai cara dan bentuk, biarpun kebiasaannya dia hanya dipanggil untuk melakukan kerja itu sekitar dua atau tiga kali sebulan manakala masa selebihnya diperuntukkan untuk menjaga dan memantau perkembangan kesihatan saya.

“Namun, saya bersyukur kerana kakak dan adik membantu daripada segi wang biarpun jumlahnya tidak banyak kerana masing-masing bekerja sebagai pembantu pejabat dan pemandu lori selain sudah berkeluarga.

“Ayah seorang yang tabah kerana dia juga menjaga emak sepanjang 17 tahun arwah sakit sebelum pergi buat selama-lamanya dan sekarang dia menjaga saya pula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Jaya, Simpang, Taiping semalam.

Menurutnya, penyakit kencing manis yang dihidapinya menyebabkan dia perlu bergantung kepada ubat-ubatan termasuk suntikan insulin sejak 16 tahun lalu.

Katanya, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM250 yang diterima sekadar cukup untuk membeli keperluan rawatannya sahaja.

“Doktor menyatakan risiko terlalu tinggi sekiranya saya bertangguh untuk menjalani rawatan dialisis dan kekangan wang serta pergerakan yang terbatas turut menjadi penghalang.

“Kalau setiap hari saya terpaksa tidur secara mengiring akibat kesakitan kerana bisul khususnya di bahagian punggung hingga luka yang terhasil menampakkan tulang.

“Inikan pula dibawa menaiki kereta untuk ke pusat rawatan. Mahu atau tidak terpaksa menaiki ambulans dan sudah tentu lebih banyak belanja terpaksa dikeluarkan,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 4:29pm
d