mutakhir

Adik buat hal, abang tanggung derita

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG lelaki bukan sahaja menanggung hutang ceti haram akibat pinjaman dibuat adiknya, malah turut hidup dalam ketakutan apabila rumah mereka di Jinjang, Kuala Lumpur, dibaling bom petrol, Isnin lalu.

Malah, tindakan ganas along berkenaan turut dirakam sebelum disebarkan bagi menakut-nakutkan mangsa.

Mangsa, Lau Tien Sung, 55, berkata, ketika kejadian bapanya tinggal berseorangan di rumah sebelum mendapati sebuah kereta berada di depan rumah.

“Menyedari tindakan pelik kereta itu, ayah menjerit sebelum seorang lelaki keluar dari kereta dan membaling bom petrol.

“Lelaki berkenaan kemudian beredar sebelum ayah memadamkan api yang ketika itu sedang marak. Kesan bom petrol itu menyebabkan kerusi di bahagian depan rumah terbakar,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.

Lau berkata, dia sekeluarga buntu apabila adiknya menghilangkan diri sejak tahun lalu.

Katanya, dia tidak tahu berapa jumlah dipinjam adiknya sehingga along bertindak ganas terhadap mereka sekeluarga.

“Ini bukan kali pertama dia melakukan perkara sebegini, saya sangkakan dia tidak meminjam dengan along lagi.

“Susulan itu, saya membuat laporan di Balai Polis Jinjang pada hari sama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya mahu polis mengambil tindakan segera berhubung perkara berkenaan.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 4:32pm
d