mutakhir

Kan dah kena...

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS menahan seorang lelaki bersama senjata api buatan sendiri, sejumlah dadah dan rokok seludup dalam serbuan di bengkel kenderaan dekat Jalan Bunga Cempaka, Felda Pasak di Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, penahanan lelaki berusia 57 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui beberapa peket plastik mengandungi heroin dan eramin 5 serta 289 karton pelbagai jenis rokok tanpa cukai, selain senjata api buatan sendiri.

“Hasil siasatan awal mendapati bengkel kenderaan ini adalah milik suspek dan semua barang rampasan juga miliknya.

“Polis juga menjalankan ujian saringan air kencing dan mendapati suspek positif morfin,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Ahsmon berkata, tangkapan dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut yang mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1) akta sama.

“Hasil semakan mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Langkah-Langkah Pencegahan Khas,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 4:39pm
d