mutakhir

Percaturan Aizy menjadi

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

MESKIPUN pernah meraih gaji lumayan RM15,000 sebulan, seorang jurutera awam sanggup meninggalkan kerjaya untuk menceburi bidang akuakultur sebagai pengusaha kolam penternakan udang galah.

Aizy Abdullah, 42, dari Bukit Cina, Melaka sebelum ini bertugas dengan syarikat antarabangsa di Kuala Lumpur selama 15 tahun.

Menurut Aizy, selain keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar, dia memberanikan diri mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai jurutera selepas melihat potensi dalam bidang akuakultur di negara ini.

Katanya, dia turut membincangkan hasrat itu dengan isterinya, Hamidah Zainal, 39, malah wanita itu turut menyokong hasratnya untuk terbabit dalam bidang yang berbeza.

“Saya tekad untuk berhenti dan mahu bekerja sendiri, malah hasil perbincangan dengan isteri, dia mencadangkan saya menceburi bidang penternakan ikan air tawar.

“Apabila isteri yang bertugas sebagai penjawat awam dan diarah berpindah ke Jelebu berikutan kenaikan pangkat, saya terus berhenti kerja pada awal Januari tahun lalu.

“Tanpa pengalaman dalam bidang ini, saya perlu rajin bertanya dan mencari maklumat berkaitan akuakultur kerana tidak mahu menjalankan perusahaan ini hanya sekerat jalan,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Aizy berkata, hampir empat bulan dia mendalami ilmu berkaitan akuakultur, selain kerap ke Pejabat Perikanan Daerah Jelebu bagi mendapatkan maklumat yang betul.

Katanya, selepas mencari lokasi kolam bersesuaian, dia menemui kolam lama yang sudah ditinggalkan oleh pengusaha asal.

“Berbekalkan modal daripada wang simpanan sebanyak RM30,000, saya nekad menceburi bidang ini.

“Selepas kerja penyediaan kolam seperti membersih dan mencuci selesai, sebanyak 30,000 benih udang galah dilepaskan ke empat kolam itu pada Ogos lalu.

“Empat bulan kemudian, tuaian pertama udang galah dibuat pada 19 Disember lalu dan tuaian kedua pada 31 Disember dengan berat keseluruhan udang adalah 250 kilogram dan saya berjaya meraih pendapatan berjumlah RM15,000,” katanya.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, pusingan terakhir tuaian akan dibuat tidak lama lagi dengan anggaran 200 kilogram udang yang boleh memberi pendapatan sehingga RM12,000.

Aizy berkata, melihat kepada hasil tuaian, biarpun pertama kali menjadi penternak udang, dia percaya perniagaan itu mampu memberi pulangan lumayan jika dibuat dengan bersungguh-sungguh.

“Meskipun pekerjaan ini jauh berbeza dari pekerjaan sebelum ini, saya dapat kepuasan tersendiri, tidak lagi terikat dengan peraturan syarikat bahkan seronok menceburi bidang akuakultur ini,” katanya.

Aizy berkata, dia gembira kerana Pejabat Perikanan Jelebu dan Bahagian Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi) banyak memberi sokongan, khidmat nasihat bagi menternak udang galah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perikanan Daerah Jelebu, Mohd Azhar Jusoh berkata, di Jelebu terdapat sembilan penternak udang membabitkan 79 kolam dengan keluasan 13.43 hektar.

“Tahun lalu pengeluaran udang galah di daerah ini sebanyak 9.67 tan metrik dengan nilai jualan berjumlah RM628,368,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 5:28pm
d