mutakhir

Padah cabul teman baik

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

PADAH cuba mencabul rakan baiknya yang juga isteri orang di sebuah rumah di Marang, lelaki ditahan polis di daerah ini semalam.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, 12.45 tengah malam.

Sumber berkata, dalam kejadian 10.30 malam Ahad lalu, mangsa berusia 26 tahun ke rumah lelaki itu dengan keizinan suaminya untuk meminjam telefon bimbit bagi menghubungi ibunya yang berniaga di pasar malam di Marang.

Katanya, lelaki itu meminta mangsa masuk ke rumahnya untuk mengambil sendiri telefon bimbit yang dicas di ruang tamu.

“Bagaimanapun, sebaik mangsa masuk ke dalam, lelaki itu mengunci pintu utama rumahnya.

“Lelaki itu dikatakan menarik tangan mangsa dan memaksa wanita itu masuk ke biliknya sebelum mengunci pintu.

“Mangsa juga sempat bertanya mengapa dia diperlakukan sedemikian sedangkan lelaki itu baik dengan keluarganya,” katanya.

Bagaimanapun, cubaan lelaki itu melakukan perkara buruk terhadap mangsa terbantut selepas suami wanita itu datang ke rumah berkenaan.

“Mangsa terus menjerit sebaik terdengar suara suaminya. Suami mangsa yang panik mendengar jeritan mangsa beberapa kali mengetuk pintu dengan kuat, bagaimanapun lelaki itu enggan membukanya.

“Suami mangsa mengumpil tingkap sebelum berjaya masuk ke dalam rumah menyebabkan lelaki itu melarikan diri mengikut pintu belakang,” katanya.

Bagaimanapun sumber berkata, kejadian itu tidak berakhir di situ apabila lelaki itu menuduh suami mangsa menceroboh rumahnya dengan membawa parang dan merosakkan rumahnya.

Susulan kejadian, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan keluarganya membuat laporan di Balai Polis Chendering.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan tangkapan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencabul.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 6:31pm
d